
ARTIKEL 1
Kenapa saya boleh charge mahal? ::Saiful Nang::
Ramai orang tanya macammana saya boleh survive dalam persaingan walaupun harga pakej peribadi saya menjangkau 2-10 kali ganda harga biasa jurugambar dalam pasaran. Berikut saya kongsikan fakta2 penting.
Harga HANYA melalui Temujanji
Mengapa? Kerana dengan temujanji kita dapat mengetahui bahawa customer itu BETUL-BETUL minat dengan hasil kerja kita. Dan bukan untuk mencari harga yang murah. Memang kalau kita guna pendekatan ini, dari 10 yang bertanya mungkin hanya 3-4 sahaja yang sanggup membuat temujanji. Tapi saya lebih sanggup layan 3 orang dan yang ambil pakej kami 2 orang daripada kita hantar email kepada 10 orang kemudian customer lambak kan atas meja dan pilih figure yang paling kecil. Chances mungkin jadi 0/10 (Kalau harga kita murah boleh lah).
Kenapa perlu temujanji? Dengan temujanji kita dapat tunjukkan album2 secara fizikal (bukan bergambar) dan customer boleh lihat, belek, rasa dan pegang apa yang bakal mereka dapat. Di situ kita tunjukkan album kita yang tak pernah kita tunjuk dalam website (kebiasaanya pasal takut org ambik idea). Dengan cara macam ni, customer akan impress dan tak kisah membayar walaupun mahal. TANPA APPOINTMENT, macammana customer nak tahu apa yang bakal mereka dapat (Walaupun kita describe gila2 seperti "Album custom berkulit platinum, bertatahkan batu bata", tapi tanpa lihat...imaginasi takkan sampai dgn tepat).
Kerana harga CS tinggi, jadi kami AKAN KALAH dalam persaingan harga. Jadi kami sediakan FINISHING yang TERBAIK untuk customer DATANG & LIHAT SENDIRI. Bukan melalui email.
HARGA MAHAL MESTI BARANG & TUMPUAN LEBIH
Bila kita dah letak harga tinggi, kena lah beri tumpuan lebih pada customer dgn melayan karenah macam2 customer dan kita ada lebih budget untuk beri SEGALA yang terbaik dan lebih BANYAK dari yang hanya charge RM400-500 per event.
Point pada hari ini, saya lihat semakin ramai dah mula sedar, apabila harga menjadi tinggi, bermakna ANDA TELAH nampak yang anda ada LEBIH PENGALAMAN DAN KUALITI. Jadi anda sendiri rasa anda akan kalah harga jika customer bandingkan harga anda dengan photographer yang hanya charge RM300 utk 2 hari. Sebab itu saya nampak ramai photographer dah mula pulled-out harga pakej dalam website masing2. Tak seperti dulu. Macammanapun, saya sarankan...kita jadikan itu sebagai 1 praktik. Supaya sebelum kita ambil gambar, kita dah kenal siapa subjek kita dulu.
Itu sahaja point perkongsian saya pada hari ini.
Renung2 kan dannnn....Selamat Beramalll!
SN
ARTIKEL 2
Petikan asal dari Majalah Pesona Pengantin
Oleh: Hasnuddin Abu Samah, Pengarah Urusan, Adan Impresif.
Antara Duit Dan Kenangan
Untuk Apa Anda Membayar Jurugambar?
Apabila anda mengupah seorang jurugambar untuk merakamkan gambar majlis perkahwinan anda, beliau akan mengenakan sejumlah harga tertentu bagi perkhidmatannya. Sekiranya anda tidak memahami akan proses yang terlibat dalam menghasilkan gambar perkahwinan, anda tentu akan menganggap harga yang dikenakan adalah tidak setimpal. Berikut saya senaraikan 5 kos utama yang sebenarnya terlibat dalam menghasilkan gambar perkahwinan:
1) Kos Peralatan Kamera
Untuk menghasilkan gambar perkahwinan yang baik memerlukan kamera yang berkualiti. Satu set kamera digital yang baik berharga dalam lingkungan RM 10,000. Selain dari kos pembelian, kos pemeliharaan juga diambil kira. Set kamera ini perlu dinaiktaraf, diservis dan diperbaiki jika berlaku kerosakan. Peralatan digital mengalami susut nilai yang lebih cepat berbanding peralatan kamera analog. Dengan mengambil kira semua kos inilah jurugambar mengenakan harga tertentu untuk perkhidmatan mereka. Ini bermakna, selain mengupah jurugambar, anda juga sebenarnya membayar kos ‘sewa’ peralatan mereka.
2) Kemahiran Jurugambar
Untuk menjadi seorang jurugambar yang baik, seseorang itu perlulah mempunyai kemahiran fotografi yang tinggi. Selain dari itu, jurugambar juga perlu mempunyai kemahiran lain seperti kreativiti, pandai berkomunikasi, mempunyai citarasa yang tinggi dan kemahiran lain. Kemahiran ini hanya dapat dikuasai dengan pengetahuan, latihan dan pengalaman. Ini bermakna, semakin tinggi kemahiran seseorang jurugambar itu, semakin tinggi pula harga yang akan dikenakan untuk perkhidmatannya.
3) Masa Perkhidmatan
Jurugambar adalah seorang profesional. Ini bermakna, beliau hanya akan mendapat bayaran dari kerja perkhidmatan yang dilakukan. Seseorang jurugambar cuma boleh merakam gambar untuk satu majlis sahaja pada sesuatu masa. Ini bermaksud, masa adalah satu faktor yang amat bernilai kepada seseorang jurugambar. Dengan itu, jurugambar mengenakan harga untuk perkhidmatannya berdasarkan berapa lama masa yang perlu diambil untuk sesuatu tugasan.
4) Perkhidmatan Selepas Rakaman
Setelah jurugambar selesai merakam gambar untuk majlis perkahwinan anda, tugas beliau sebenarnya tidak habis di situ sahaja. Beliau perlu menyunting kesemua gambar yang telah dirakam dengan memilih gambar yang terbaik sahaja. Sekiranya perlu, gambar yang terpilih akan diperbaiki lagi dari segi kecerahan, kontras, warna, ketajaman, komposisi dan sebagainya. Seterusnya, barulah gambar anda tadi akan dicetak. Selepas cetakan gambar siap, jurugambar akan meneliti kembali kualiti cetakan gambar. Gambar yang tidak sempurna akan dicetak kembali agar mencapai tahap kualiti yang dikehendaki. Akhir sekali, kesemua gambar-gambar tersebut akan disusun ke dalam album sebelum diserahkan kepada pelanggan.
5) Kos material
Selain dari kos perkhidmatan yang disebutkan di atas, kos material juga terlibat dalam menentukan harga perkhidmatan seseorang jurugambar. Antara kos material yang terlibat ialah kos pengangkutan, cetakan gambar, album, bil telefon, kos promosi serta lain-lain kos peniagaan.
Dengan mengetahui kos sebenar yang terlibat dalam menghasilkan gambar perkahwinan, diharap anda akan lebih menghargai peranan seorang jurugambar walaupun anda terpaksa mengeluarkan sejumlah wang untuk membayar perkhidmatannya. Walau apa pun, sememangnya berbaloi untuk membelanjakan wang kepada sesuatu yang boleh anda tatap sehingga ke akhir hayat. Tambahan pula, ianya adalah gambar hari yang paling bahagia dalam hidup anda.
Jadi fikir-fikirkan lah...
Duit boleh cari, tapi kenangan manis hanya datang sekali.










